Tips Masak di Rumah Sewa Bajet RM200 Sebulan

Cara untuk mengurangkan belanja ialah dengan memasak di rumah sewa. Jika anda betul-betul masak setiap hari, anda boleh spend RM200 sahaja sebulan untuk makanan.

Harga makanan siap dimasak boleh mencecah belasan ringgit di Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Untuk makan tengahari dan makan malam sahaja, anda boleh berhabis hampir tujuh ke lapan ratus ringgit.

Ingin tahu cara jimatkan wang makan? Kami senaraikan sepuluh tips untuk anda masak di rumah dengan bajet bawah RM200. Jom baca artikel ini sampai habis.

Tip #1 : Pilih Bahan yang Versatile

Untuk permulaan, kos membeli bahan akan nampak besar. Minyak, garam, serbuk kunyit, gula, dan beras ialah bahan yang wajib ada untuk mula memasak. Jadi beli yang ini dahulu.

Pilih bahan yang boleh digunakan untuk pelbagai masakan. Bahan perasa contohnya, kicap manis dan kiub ayam boleh digunakan untuk pelbagai hidangan.

Elakkan membeli bahan yang mahal dan hanya boleh digunakan untuk beberapa jenis hidangan. Seperti sos BBQ dan Gochujang.

 Tip #2 : Utamakan Bahan Tempatan

Secara umumnya, harga bahan import lebih mahal daripada bahan tempatan. Jadi masak hidangan dengan bahan-bahan yang mudah didapati.

Contoh bahan import ialah ikan salmon, sayur asparagus, dan keju. Sebaliknya, pilih bahan seperti ikan kembung, kubis, dan ayam yang lebih murah.

Tip #3 : Meal Plan dan Meal Prep

Meal plan ialah merancang makanan apa untuk dimasak setiap hari. Merancang makanan secara mingguan ialah cara terbaik untuk memastikan anda berjaya menepati bajet yang ditetapkan.

Meal prep pula ialah proses menyediakan makanan dalam jumlah yang banyak untuk dimakan selama beberapa hari. Dengan meal prep, anda tak perlu lagi fikir nak masak apa setiap hari. Anda boleh bawa makanan yang dimasak pada hujung minggu ke pejabat dan hangatkan dalam microwave pada waktu rehat.

Tip #4 : Kurangkan Goreng Banyak Minyak

Satu botol minyak masak 5kg berharga lingkungan RM30. Memasak dengan minyak banyak seperti deep fry ayam goreng cepat menghabiskan minyak. Ini punca kebocoran bajet yang utama semasa memasak.

Masak hidangan yang lebih sihat dengan teknik masakan seperti stim, sup, panggang, ataupun tumis. Simpan resipi ayam goreng KFC beberapa kali sebulan sahaja untuk menjimatkan minyak masak dan wang.

Tip #5 : Beli Bahan di Speedmart 99

Mereka jarang membeli barang dapur, mungkin tak tahu tip ini. Speedmart 99 ialah kedai runcit rantaian terbesar di Malaysia. 

Disebabkan volume yang mampu dijual setiap hari, kedai runcit ini mampu menawarkan harga yang sangat berpatutan. Hingga kedai runcit persendirian terjejas. 

Walaupun persaingan ini membunuh peruncit kecil, kita sebagai pembeli untung kerana boleh membeli dengan harga murah. Ambil kesempatan ini dan beli barang kering anda di Speedmart 99.

Tip #6 : Cari Menu Simple

Memasak setiap hari di rumah ataupun meal prep pada hujung minggu mengambil tenaga yang banyak. Mudahkan kerja anda dengan memasak resipi mudah dengan menggunakan 3-5 bahan.

Contoh resipi mudah ialah sup ayam, sup ikan, sup sayur, tumis sayur, ikan bakar, tom yam, bubur ayam, dan nasi goreng. Kebanyakan resipi ini hanya memerlukan halia, garam, bawang, dan protin.

Elakkan masak hidangan rumit seperti sambal tumis, rendang, dan ayam goreng berempah yang memerlukan banyak bahan yang anda mungkin akan guna sekali sahaja.

Tip #7 : Beli Sayur Tahan Lama

Sayur biasanya dijual seikat ataupun sepaket bersaiz sederhana. Jika anda tinggal sendirian di rumah sewa, jimatkan belanja anda dengan memilih sayur yang kekal segar untuk sekurang-kurangnya 3 hari. 

Sayur yang tahan lama adalah seperti kubis, bunga kubis, karot, labu, dan terung. Sebaliknya, sayur hijau berdaun seperti bayam, sawi, dan pak choy cepat layu dan akan terbuang.

Tip #8 : Variasikan Sumber Protin

Selain ayam, ikan, dan daging, anda boleh mencuba tauhu telur, tauhu, tempe, dan telur sebagai sumber protin.

Telur dan bahan berasaskan soya ini murah. Masak juga jadi cepat kerana tak perlu defrost daripada peti sejuk beku.

Tip #9 : Simpan Herba dalam Peti Beku

Daun limau purut, serai, dan lengkuas ialah herba yang tidak digunakan banyak dalam masakan. Tapi herba ini penting untuk sesetengah resipi macam tom yam dan padprik.

Bahan-bahan ini akan kekal segar selama beberapa bulan bila dibekukan. Jadi potong kecil-kecil, masuk dalam bekas kedap udara, dan simpan dalam freezer.

Tip #10 : Jangan Paksa Diri

Memasak ialah aktiviti yang mengambil masa dan tenaga yang banyak. Kadangkala bila balik dari rumah, kita rasa terlalu letih untuk masak dan kita beli makanan siap.

Jadi relax-relax sahaja dan jangan salahkan diri bila tak larat masak. Yang penting ialah konsisten dan cuba masak setiap hari jika boleh.

Kesimpulan

Membeli makanan siap di luar adalah antara penyumbang kos sara hidup terbesar.

Dengan ilmu memasak yang minima dan pembelian barang dapur yang bijak, anda mampu mengurangkan kos makan bulanan sehingga RM200 sebulan.

Yang penting ialah konsisten memasak setiap hari dan kurangkan pembaziran. Bila anda dah biasa masak, mesti masakan pon semakin sedap sampai tak nak lagi makan di luar.

Blog

Locations