Tips Buat Coffee di Rumah Seperti di Café.

Published: November 5, 2021

Jika anda seorang coffee-addict, mesti anda pernah terfikir untuk buat kopi sendiri di rumah, kan? Sebab hari seorang pencinta kopi sejati tidak akan bermula sebelum mendapat secawan kopi.

Dengan membancuh kopi sendiri, anda ada kawalan sepenuhnya terhadap proses dan hasil kopi yang disediakan. Sama ada kopi full-bodied yang pekat mahupun kopi nipis, anda boleh experiment untuk dapatkan kopi yang menepati cita rasa anda.

Ingin tahu cara membuat kopi seakan-akan barista bertauliah? Ikuti 4 tips ini untuk buat coffee di rumah yang setanding dengan kopi daripada café.

Biji Kopi dan Bukan Kopi Segera.

Kalau nak buat coffee macam Starbucks atau Coffee Bean, kenalah bancuh daripada biji kopi sebenar. Bukan kopi segera.

Kopi segera seperti Nescafe atau Super datang daripada biji kopi yang sudah dibancuh kemudian dijadikan serbuk. Sebab itulah serbuk kopi segera larut sepenuhnya.

Kekurangan kopi segera ialah rasa dan aroma yang tidak sesedap kopi daripada biji kopi segar. Rasa kopi segera yang dibancuh lebih pahit dan flat.

Pemilihan Biji Kopi

Jadi bagaimana nak pilih biji kopi? Kopi ialah sejenis buah, jadi utamakan yang segar. Pilih tarikh panggang yang terbaru. Biji kopi yang segar menghasilkan kualiti dan rasa bancuhan yang terbaik. Selain itu, cuba habiskan semua biji kopi sebelum 3 minggu.

Ramai berpendapat yang biji kopi campuran lebih sesuai bila dijadikan kopi susu. Manakala kopi dari lokasi yang spesifik lebih sesuai dibuat kopi hitam.

Tapi semua ini bergantung kepada cita rasa masing-masing. Untuk rasa yang lebih clean dan manis, cuba biji kopi daripada Amerika Utara dan Amerika Tengah. Biji kopi dari Afrika pula mempunyai profile rasa yang kompleks, manakala biji kopi Asia mempunyai rasa earthy yang kuat.

Saiz Kisaran Kopi

Proses pertama dalam membuat kopi segar ialah mengisar biji kopi. Ini ialah faktor penting yang menentukan kualiti dan rasa air kopi.

Secara umumnya, biji kopi yang dikisar kasar akan menghasilkan kopi cair tetapi mudah untuk ditapis dengan air. Sebaliknya jika anda kisar terlalu halus, anda akan mendapat air kopi yang pahit dan agak masam. Saiz kisaran terlalu halus juga menyukarkan tapisan.
Jadi kisar biji kopi hingga rasa cukup kuat, tetapi jangan terlalu halus. Cari saiz kisaran ideal untuk dapatkan rasa yang anda suka serta sesuai dengan kaedah pembuatan kopi anda.

Teknik Brew Kopi

Ada pelbagai cara untuk membancuh kopi daripada biji kopi segar. Setiap satu ada kebaikan dan keburukan yang tersendiri.

Daripada perspektif harga, kaedah pour-over, French press, dan moka pot berada pada tanda harga lebih berpatutan. Penggunaan Aero-Press dan mesin Espresso pula lebih mahal.
Dalam pembuatan kopi di rumah, murah tidak bermakna kualiti air kopi rendah. Jadi pilih teknik yang sesuai dengan bajet, kemudahan, dan cita rasa anda.

French Press.

Dalam kaedah French Press, anda letakkan biji kopi yang sudah dikisar bersama air panas ke dalam teko French Press, kemudian tekan tapis ke bawah sepenuhnya. Sesuai untuk mereka yang suka kopi pekat dan penyediaan yang mudah tanpa perlu membeli mesin kopi yang mahal.

Kebaikan: Sangat murah dan mudah. Tidak perlu membeli dan membazir kertas penapis.

Keburukan: Sesuai untuk kopi yang lebih rich dan pekat. Kopi yang nipis kurang sesuai dibancuh dengan kaedah ini. Pembersihan teko French Press juga lebih sukar berbanding kaedah lain seperti pour-over.

Pour-Over

Teknik ini memerlukan corong dan kertas penapis. Letakkan biji kopi yang dah dikisar di dalam penapis kertas dan tuang air panas. Ideal untuk mereka yang benar-benar mementingkan kualiti air kopi dan boleh meluangkan masa untuk dapatkan hasil yang terbaik.

Kebaikan: Anda mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap kopi yang dihasilkan. Boleh tuang air panas secara perlahan-lahan, basahkan biji kopi terlebih dahulu, tuang dalam bentuk bulatan, dan kacau biji kopi. Proses membuat kopi juga sangat menenangkan.

Keburukan: Perlu latihan yang banyak untuk dapatkan hasil yang konsisten dan anda suka setiap kali anda membuat kopi. Peralatan tambahan yang anda perlukan ialah koleh bermuncung panjang supaya aliran air yang dituang sekata.

Espresso

Espresso ialah mesin kopi yang besar dan biasa digunakan oleh barista di café. Sesuai bagi fanatik kopi yang mampu berhabis banyak masa dan wang untuk dapatkan air kopi yang terbaik.

Kebaikan: Mesin ini versatile, jadi anda boleh menyediakan bermacam-macam jenis kopi dan minuman dengan satu mesin sahaja. Sesuai untuk membuat kopi susu seperti latte dan cappuccino. Rasa kopi yang dibuat mesin espresso juga istimewa berbanding dengan kaedah pour-over atau French Press. Air kopi yang terhasil sangat pekat dan rich.

Keburukan: Harga mesin ini sangat mahal, hingga mencecah ribuan Ringgit. Sesetengah mesin yang besar makan banyak ruang dan kurang sesuai untuk kediaman yang sempit. Anda juga perlu membeli pengisar kopi istimewa agar saiz kisaran biji kopi sesuai dengan mesin espresso. Mesin espresso datang dengan tahap kesukaran tinggi untuk betul-betul master pembuatan kopi yang sempurna. Akhir sekali, hanya satu cawan kopi boleh dibancuh pada satu-satu masa.

Drip machine

Mesin all-in-one yang boleh menghasilkan air kopi dalam kuantiti besar. Hanya masukkan biji kopi yang telah dikisar serta air panas dan mesin ini akan lakukan selebihnya.

Kebaikan: Boleh membancuh kopi dalam kuantiti yang besar, jadi sesuai untuk keluarga atau kegunaan pejabat. Air kopi yang dihasilkan oleh mesin berkualiti tinggi juga sangat sedap.

Keburukan: Anda tidak mempunyai kawalan terhadap penghasilan kopi. Rasa dan kepekatan air kopi yang disediakan bergantung sepenuhnya kepada mesin ini. Kualiti minuman dalam kuantiti kecil pula tidak sebaik air kopi yang dihidangkan dalam kuantiti besar.

AeroPress

Pembuat kopi mudah alih yang unik. Cuma masukkan biji kopi yang telah dibancuh ke dalam mesin ini. AeroPress ada penapis kertas di dasarnya. Selepas kopi selesai di-brew, tapis kopi ke dalam cawan.

Kebaikan: Banyak resipi dan variasi yang boleh dicuba. Alat ini juga boleh dibawa ke mana-mana jika anda selalu travel. Pembersihan AeroPress mudah. Secawan kopi boleh siap dalam masa 2-3 minit.

Keburukan: Hanya boleh bancuh secawan kopi pada satu-satu masa.

Moka Pot

Sejenis alat membuat kopi yang diletakkan atas api dapur. Proses ini menghasilkan kopi yang sangat pekat, sama seperti mesin espresso. Jadi sesuai bagi penggemar kopi susu.

Kebaikan: Proses yang sangat menyeronokkan dan boleh menghasilkan kopi yang pekat.
Keburukan: Kurang versatile kerana boleh membancuh kopi pekat sahaja. Jika anda tidak suka kopi pekat atau kopi susu, moka pot bukan untuk anda. Selain itu, hanya secawan kopi boleh disediakan setiap kali.


Pod machine

Mesin pembuat kopi mudah, seperti mesin Nespresso. Ideal bagi mereka yang mementingkan kepantasan dan kemudahan dalam membancuh kopi.

Kebaikan: Secawan kopi dapat disediakan dengan mudah dan cepat. Anda boleh mendapat bermacam-macam jenis kopi dengan satu mesin sahaja.

Keburukan: Tidak dapat menghasilkan kopi segar dan berkualiti tinggi. Banyak pembaziran yang berlaku disebabkan penggunaan pod kopi pakai buang.

Jadi inilah 4 tip terpenting untuk buat kopi di rumah yang seperti di café. Buat dahulu research tentang biji kopi yang anda suka dan teknik apa yang anda sesuai dengan bajet dan gaya hidup anda.

Akhir kata, mesin membuat kopi mahal bukanlah penentu kualiti air kopi yang dibancuh. Yang penting, jangan takut untuk cuba teknik dan jenama biji kopi baru, sehingga anda berjaya hasilkan kopi yang paling sedap. Selamat mencuba!

Facebook
Twitter
LinkedIn

Writen by

Do You Enjoyed This Article?

Join our community of 3 million people and get updated every week We have a lot more just for you! Lets join us now

Comments are closed.

Continue reading