Ada banyak cara simpan duit dan salah satunya adalah melalui KWSP. Walaupun kita tak rasa kita menyimpan, sebenarnya KWSP adalah instrumen simpanan yang paling ampuh.
Sudahlah ditolak siap-siap dari gaji kita sebelum masuk akaun lagi, tidak boleh dikeluarkan pula tu sehingga umur kita 50 atau 55 tahun. Memang betul-betul simpan untuk persaraan kita ni.
Hal ini jadi kecoh bilamana Perdana Menteri kita umumkan pengeluaran khas KWSP maksimum RM10,000 dibenarkan baru-baru ini.
“Ahli dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50, selain perlu mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun 2 mereka dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun 1.”
Sumber : Berita Harian
Hal ini jadi kecoh sebab ada yang marah kerana kesannya boleh menggugat pelan persaraan kita.
Bayangkan sekarang ni anda berumur 30 tahun dan ada lagi 25 tahun untuk bersara (55 tahun).
Jika anda keluarkan RM10,000 tu, maka anda akan terlepas peluang untuk peroleh RM33,863 bila bersara nanti (dengan andaian pulangan 5% setiap tahun).
Ya, secara teori memang betul.
Tapi kenapa perkara ini diluluskan?
Walaupun inisiatif ini bertujuan bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan dek bencana banjir dan Covid-19, ada yang mengecam bahawa sepatutnya duit yang perlu disalurkan itu mestilah dari kerajaan sendiri.
Bukannya dari duit poket rakyat sendiri, duit bekalan untuk pencen pula tu.
Lagi pun, tak semua ada simpanan KWSP sehingga RM10,000. Jadi, tak efisyen pun ‘bantuan' ni kan?
..seramai 4.4 juta atau 54 peratus pencarum Bumiputera kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, manakala dua juta atau 25 peratus lagi mempunyai kurang daripada RM1,000.
Sumber : Berita Harian
Pertama sekali, jangan gaduh-gaduh.
Menunding jari dan cari salah siapa tak akan mengubah keadaan kita sendiri.
Hidup kita, biar kita yang tentukan.
Kedua, tanya diri sendiri sama ada pengeluaran KWSP itu keperluan atau tidak?
Kalau ya, keluarkan je. Secara teori memanglah anda melepas peluang bekalan persaraan anda, tetapi realitinya berbeza. Ada orang tak terkesan, dan majoritinya terkesan dengan bencana yang menimpa kita baru-baru ini.
Kena ikut keadaan semasa. Jangan terlalu menekan hidup anda.
Ini yang kita panggil sebagai ‘happy money'.
Apa itu happy money?
Ini adalah budaya dimana anda berbelanja tetapi gembira. Kebanyakan orang takut-takut untuk berbelanja. Takut terlebih bajet. Takut tak cukup duit bila hujung bulan nanti.
Guna kaedah ni, anda tak akan rasa bersalah bila berbelanja. Dan menariknya, cara ni sesuai segala jenis lapisan masyarakat. Tidak kira kaya atau tidak.
Bagaimana caranya?
Mudah sahaja. Anda tetapkan sasaran supaya jumlah belanja bulanan anda adalah 10% daripada jumlah simpanan.
Contoh belanja bulanan anda RM3k, simpanan anda sepatutnya RM30k.
Itu sasaran anda.
Simpan serendah RM10 atau RM50 atau RM10 pun tak apa. Yang penting kumpul sehingga capai RM30k dalam keadaan yang tak tertekan.
Tak perlu terlalu ikat perut, belanja dengan bahagia.
Kalau anda boleh simpan lebih banyak lagi bagus. Asalkan anda bahagia.
Dah capai RM30k nak buat apa?
Anda ada pilihan untuk tingkatkan belanja bulanan anda.
Siapa yang tak seronok dapat belanja lagi banyak kan? Sebab tu kaedah ni dipanggil happy money.
Mudah kan?
Dah tu, apa kaitannya dengan pengeluaran KWSP tu?
Nak cerita kat sini, sama ada anda keluarkan atau tidak duit KWSP tu, buat keputusan yang membahagiakan anda. Dalam keadaan hari ni, ramai yang tertekan dengan ujian hidup.
Jadi, buatlah keputusan yang boleh kurangkan tekanan.
Tak perlu rasa bersalah kalau anda perlu keluarkan duit KWSP jika anda betul-betul memerlukan buat masa ini. Bina semula simpanan anda ikut kaedah happy money ni.
Akhir sekali, tiada kaedah yang sesuai dengan semua orang. Cara simpan duit ni ada pelbagai cara, pilihlah mana yang berkenan.