Bagaimana puasa boleh betulkan corak pemakanan yang sihat?

Puasa bukanlah sesuatu yang membebankan dan perlu dikhuatiri. Selain daripada melatih rohani supaya menjadi lebih bersih (ketika ini barulah kita sedar betapa besarnya nikmat rezeki, betapa sukarnya saudara di Somalia mendapatkan makanan), ia juga terbukti mendatangkan lebih banyak faedah dari sudut kesihatan.

Menerusi berpuasa, sistem pencernaan kita yang sebelum ini bekerja hampir “24 jam sehari” dapat direhatkan, dan ini akan meningkatkan kecekapan sistem pencernaan kelak, sekaligus meningkatkan kadar pembebasan tenaga selepas berakhirnya bulan puasa (lebih sihat dan bertenaga). Dari aspek sukan dan latihan pula, berpuasa adalah analogi kepada sebuah butang ‘reset‘, sebelum program yang baru boleh dimulakan. Memang tidak dinafikan akan hilang progres yang banyak menerusi puasa, namun usah bimbang kerana progres itu akan datang semula apabila berakhirnya tempoh berpuasa dalam masa yang singkat.

Dalam masa yang sama, pasti ramai yang tertanya-tanya, bagaimanakah corak pemakanan yang baik yang dapat dipraktikkan ketika berpuasa di bulan Ramadhan? Rahsia kepada jawapan ini terletak kepada “keperluan tubuh badan”. Ketika bersahur, kita memerlukan sesuatu yang perlahan dan lambat untuk dicerna untuk kegunaan tubuh badan sepanjang tempoh lebih 12 jam berpuasa, manakala ketika berbuka kita memerlukan sesuatu yang cepat untuk dicerna untuk keperluan tenaga segera.

Sahur

Dapatkan makanan yang tinggi kandungan seratnya kerana serat merupakan kunci yang melambatkan pencernaan makanan. Makanan berserat juga akan menahan insulin, iaitu hormon yang bertindak membawa masuk glukosa ke dalam sel, daripada dirembeskan terlalu cepat dan banyak. Ini menstabilkan proses penghadaman secara keseluruhan.

Selain itu, pengambilan karbohidrat kompleks ketika bersahur adalah amat disyorkan. Bergantung kepada kuantiti yang diambil, karbohidrat kompleks mengambil masa kira-kira 8 jam untuk dicernakan sepenuhnya. Sertakan juga dengan pengambilan protein kerana struktur protein yang lebih kompleks akan melambatkan lagi proses pencernaan. Pilihlah protein yang rendah Biological value (BV) kerana lebih rendah nilai BV, maka lebih lambat protein itu diguna pakai oleh badan. Antara yang disyorkan ialah Ikan (83), Daging (80), Ayam (79), Casein (80), Soya (74) dan kekacang (49).

Akhir sekali, pastikan jumlah pengambilan air adalah mencukupi. Ini kerana keletihan utama ketika berpuasa adalah disebabkan oleh kurangnya air dalam badan dan bukannya disebabkan perut terasa lapar atau tak cukup makan (melainkan anda memang tak sahur pada awal pagi tersebut). Berapa banyak yang diperlukan? 3-5 gelas air, diagih secara berperingkat dari awal sahur, hinggalah ke akhir sahur. Elakkan daripada mengambil garam berlebihan dalam makanan atau minum kopi (kafein) ketika bersahur kerana ia bersifat diuretic – bermaksud tubuh akan lebih cenderung/kerap untuk menyingkirkan air daripada badan menerusi air kencing, sekaligus anda mudah berasa dahaga ketika berpuasa.

Berbuka Puasa

Selepas niat berbuka puasa, mulakanlah dengan karbohidrat ringkas seperti segelas minuman manis dan beberapa biji kurma. Bagi mereka yang sedang dalam proses membina badan, atau dalam proses menurunkan berat badan, tetapi hendak memelihara otot sebanyak yang mungkin, bolehlah diambil satu hidangan whey protein bersama beberapa biji kurma (atau buah-buahan lain seperti pisang atau betik).

Elakkan makan makanan yang berat secara menerus kerana pada ketika ini badan berada pada fasa yang dikenali sebagai “Insulin Spike“, memandangkan paras glukosa dan insulin dalam darah sebelum ini adalah rendah dek kerana berpuasa. Ketika fasa ini, insulin akan dirembeskan dengan mendadak pada kadar yang banyak, untuk membantu transportasi glukosa ke dalam sel. Ini mengakibatkan paras glukosa dalam darah jatuh kembali dengan mendadak, dan otak akan mula berfikir bahawa badan kekurangan sumber glukosa, sekaligus memberikan isyarat bahawa tubuh badan masih lapar dan memerlukan lebih makanan; ini akan mengakibatkan anda makan secara berlebihan kelak.

Beri masa kepada perut untuk ‘warm up‘, dan gunakan tempoh transisi yang ada untuk menunaikan solat maghrib terlebih dahulu sebelum mencernakan sesuatu yang lebih berat, terutamanya makanan berminyak. Jangan dilupa juga 2-3 gelas air masak (atau air manis, jika kurma tidak diambil) untuk memastikan sel di dalam badan dihidratkan semula.

Sumber : Kevin Zahri

Wetopia Asia Sdn. Bhd.
Office Suite 15-7, Menara 1MK, No.1, Jalan Kiara, Mont Kiara, 50480 Kuala Lumpur.
Copyright © 2024 Wetopia Coliving. All rights reserved.