Bagaimana nak henti jadi malas? Ini 6 strategi untuk azam tahun baru 2022

azam-tahun-baru

Published: Disember 29, 2021

Anda mesti dah biasa buat kerja minit-minit terakhir kan? Masa tu rasa stress, rasa menyesal, rasa marah dengan diri sendiri pun ada.

Anda mula bermonolog,

“Kenapalah aku ni malas sangat? Padan muka bertangguh lagi”

“Macam mana aku nak ubah perangai buruk aku ni?”

Jangan risau. Anda tidak keseorangan. Kita semua ada moment sebegitu. Sebenarnya bagus bila anda sedar betapa buruknya perangai malas ni. Malas ni adalah satu simptom masalah lain yang perlu anda gali lebih dalam lagi. Sangat-sangat dalam.

Susah tak? Ya, susah!

Tapi kenapa nak berubah juga. Sebabnya anda akan jumpa saat-saat terindah nanti.

Nak berubah tak? Teruskan membaca.

Kenapa kita malas?

Kemalasan boleh berpunca dari pelbagai faktor. Tapi ada satu hakikat yang anda perlu terima bahawa otak memang dicipta untuk simpankan tenaga kita, pastikan kita sentiasa berada dalam comfort zone.

Hasilnya? Anda berasa sangat mudah dan selamat bila tonton Netflix episod demi episod disebabkan perasaan seronok yang berterusan (instant gratification loop). Lepas tu anda mesti rasa menyesal kan? Hehe..

Lagi sekali, rasa penyesalan tu bagus. Tapi kalau tanpa tindakan tak guna juga. Jadi mari kita mulakan strategi yang perlu kita guna untuk menempuh tahun baru 2022 dengan bersemangat.

Bagaimana nak henti jadi malas : tip untuk bertindak!

1. Cerakinkan tugasan menjadi kecil

Benda ni mesti dah bosan dengar kan? Tapi inilah resepinya.

Bagaimana anda makan gajah (kalau boleh makan) ? Mestilah sikit-sikit dulu. Semudah itu.

Benda terpakai untuk segala tugasan, tak kira apa sahaja.

Seperkara yang perlu kita ingat adalah yang susahnya adalah pada permulaan. Sebenarnya keseluruhan tugasan kita tu tak perlukan tenaga pun. Awal-awal je, selebihnya kita akan berasa mudah tanpa kita sedar pun!

Jadi, pecahkan tugasan anda menjadi sekecil-kecilnya dan mula ‘makan’ sikit. Lihatlah keajaibannya nanti.

2. Pastikan azam kita adalah realistik

Pernah dengar orang kata, “cita-cita tu biar tinggi di bintang, kalau jatuh pun jatuh ke langit” ?

Ada betulnya.

Tapi sekarang kita cerita bagaimana nak bangkit dari kegagalan, nak berubah dari buruk kepada lebih baik. Proses transformasi ni memerlukan kepercayaan anda sendiri.

Nak turunkan berat badan 10kg dalam masa seminggu? Nampak macam gah tapi akan memakan diri sendiri.

Ingat seperti yang diterangkan diatas? Otak kita akan berjuang untuk senangkan kita. Mulakan yang mudah, bina kepercayaan pada diri sendiri. Dari situ anda boleh tingkat sikit demi sikit.

3. Mudahkan untuk bermula (dan susahkan daripada diganggu)

Sekarang kita dah tahu cara nak mudahkan untuk bertindak. Tapi langit tak selalu cerah.

Kita mudah terganggu dengan anasir-anasir digital.

Kenyataan yang perlu anda garap adalah jangan percaya pada diri sendiri. Maksud disini bukanlah pada keyakinan, tapi pada tahap disiplin. Manusia adalah makhluk yang ketagihkan benda yang cepat. Nak senang cepat, nak kaya cepat, macam-macam nak cepat.

Jadi, kita kena atur juga faktor luaran. Buat kerja dari rumah tak seindah yang dikhabarkan. Lagi banyak cabarannya. Jadi, cari tempat yang memang dibentuk untuk bantu produktiviti seperti perpustakaan atau cafe.

4. Bina habit atau tabiat yang lebih sihat

Cuba renung sekejap. Balik je dari kerja, kita duduk atas sofa, tonton TV, kadang-kadang sampai tertidur. Bangun je, kita dalam keadaan kelam kabut, tertekan sebab sedar masa berlalu begitu sahaja dan kerja masih banyak tak siap.

Itulah tabiat. Perkara yang tidak perlu pun untuk kita fikir tapi bergerak.

Berita baiknya, perkara ini boleh dibaiki dengan bina habit baru.

Bina habit baru dan hapuskan tabiat buruk bukan perkara yang mudah. Caranya adalah anda kenalpasti rutin anda, dan gantikan sikit demi sikit.

Contohnya macam balik kerja tadi. Jangan lawan tabiat anda suka tonton TV atau Netflix tu, tapi gantikan rutin anda. Daripada duduk kat sofa terus, cuba anda ganti dengan pergi mandi dulu. Ulang rutin ni sehingga anda tak perlu fikir pun. Lama-lama kelamaan keseronokan anda rasa segar lepas mandi tadi dapat lupakan keseronokan tonton TV tadi.

Cubalah.

5. Benarkan kegagalan berlaku

Lakukan perubahan ni bukan mudah ya. Jadi, anda kena jangkakan akan berlaku kegagalan.

Jika anda benarkan kegagalan terjadi, anda tidak akan jadi tertekan. Malah, anda bersedia untuk belajar dari kesilapan.

Orang yang berjaya bukanlah memang nasib dia sentiasa berjaya. Tapi mereka adalah orang yang belajar dari kesilapan. Jadi, biarkan kegagalan berlaku. Yakinlah pada proses berbanding lihat pada hasilnya.

6. Berikan sedikit ganjaran pada diri sendiri

Habit terjadi disebabkan dengan kitaran.

Bermula dengan rangsangan -> tindakan -> ganjaran.

Balik kerja -> duduk kat sofa dan tonton TV -> hilang stress (tapi kerja tertangguh)

vs

Balik kerja -> mandi -> rasa segar dan hilang stress (buat kerja sikit)

Mana satu yang anda mahu?

Mestilah senario yang kedua tu kan? Untuk pastikan kitaran ini berterusan, anda kena beri sedikit keseronokan dengan ganjaran. Apa-apa ganjaran yang anda mahukan. Tapi sebenarnya keseronokan menjadi produktif adalah ganjaran yang paling seronok dan tidak boleh dinilai dengan matawang.

Fahamkan 6 perkara ni, barulah anda jelas azam tahun baru yang betul-betul diperlukan. Kita tak mahulah asyik bawa ke hadapan azam-azam lepas yang tak terlaksana tu kan?

Dapat manfaat? Apa lagi, kongsikan pada yang lain ya.

Facebook
Twitter
LinkedIn

Writen by

Do You Enjoyed This Article?

Join our community of 3 million people and get updated every week We have a lot more just for you! Lets join us now

Ulasan telah ditutup.

Continue reading